Saya Tertarik
Berilah Teguran, Sebagai Satu Jihad
Manusia mudah nampak keburukan seseorang tetapi kurang peka dengan
kebaikan yang ditunjukkan. Sebab itulah ibu bapa lebih banyak menegur,
memarahi dan menasihati kesilapan anak-anak mereka berbanding memuji
kebaikan-kebaikan mereka. Seorang ketua lebih kerap menegur orang
bawahannya berbanding memuji kebaikan yang ada. Seorang sahabat bermasam
muka dengan kesilapan sahabatnya dan lupa kebaikan-kebaikan yang dicurahkan
selama ini.
Kalau kita mahu lahirkan seorang insan
cemerlang sama ada dia seorang anak, rakan mahukan orang bawahan maka kita perlu
suburkan kebaikan dalam diri mereka. Salah satu cara menyuburkan kebaikan
ialah dengan memuji kebaikan-kebaikan yang telah dilakukan agar mereka seronok
mengulangi lagi kebaikan ini dilain masa.
Berikut adalah cara memuji yang
berkesan:
1. Disegerakan
Pujian mestilah disegerakan dan paling
berkesan ialah ketika sesuatu kebaikan itu sedang dilakukan. Misalnya
kalau kita lihat anak kita tiba-tiba datang rajinnya menolong kita di dapur
sedangkan selama ini bila dipaksa baru mahu buat maka pujilah sedikit anak itu,
“Haaa… macam ni lah anak mak, cepat kerja-kerja ni siap bila adik mahu bantu
mak”. Ia akan lebih berkesan lagi apabila ketika itu ada juga orang lain
selain kita di situ.
2. Ikhlas dari hati
Orang dapat membaca sejauh mana kita
ikhlas apabila memuji mereka. Oleh itu, biarlah puji-pujian itu datang
daripada hati agar ia benar-benar dihargai. Jangan memuji dengan nada
menyindir kerana ia akan menyakitkan hati orang tersebut. Kalau
orang yang dipuji itu berada hampir dengan kita tepuk-tepuklah bahunya sedikit
sebagai bukti kita benar-benar seronok dengan tingkah lakunya.
3. Puji secara spesifik
Puji-pujian pula biarlah dibuat secara
spesifik bukan secara umum. Misalnya, apabila anak kita tunjukkan
sebuah lukisan yang dihasilkannya, tidak cukup dengan berkata “wahh, cantik
lukisan adik!”. Tetapi nyatakanlah dengan lebih specifik apa yang
cantiknya, misalnya “wahh, cantik lukisan adik! Mak suka adunan warna yang adik
gunakan”. Atau pun “wahhh, cantik pokok yang adik lukis dalam gambar
ini”. Begitu juga apabila anak kata dia ada peningkatan dalam
markah yang diperolehi dalam peperiksaan baru-baru ini. Sebagai ibu bapa,
kita minta anak tunjukkan markah-markah itu dan kita puji secara
spesifik. Misalnya, “Syabas, kakak dah ada peningkatan dalam markah
Sejarah dan Matematik. Bahasa Inggeris ni pula tidak mengapa, teruskan
lagi usaha kakak seperti yang kakak lakukan dalam dua subjek tadi”.
Apabila kita memuji secara spesifik maka orang yang dipuji tahu bahawa kita
memang memberikan perhatian terhadap apa yang mereka tunjukkan. Mereka
juga sedar bahawa puji-pujian tersebut bukan sekadar untuk ambil hati.
4. Realistik dan tidak keterlaluan
Adalah penting bagi kita memuji sesuatu
yang benar dan bukan atas sesuatu yang sengaja kita ada-adakan.
Jangan juga memuji dengan cara yang keterlaluan hingga ketara yang pujian itu
sengaja dibuat-buat. Yang penting adalah bersederhana dalam memuji
agar orang yang dipuji itu tidak rosak akhlak dan peribadinya kerana termakan
pujian. Berkata benarlah dalam mengeluarkan puji-pujian kerana ia
melambangkan keluhuran hati kita sendiri.
5. Tidak disulam
dengan kata-kata negatif
Apabila memuji jangan disusuli pula dengan ungkapan-ungkapan
yang negatif.
Misalnya:
“Amboi, kemasnya bilik adik sekarang, alangkah baiknya kalau
sejak dulu lagi macam ini”.
Kata-kata ‘alangkah baiknya kalau sejak dulu lagi macam ini’
itu adalah kata-kata negatif yang tidak sepatutnya diungkit lagi ketika memuji.
“Macam ni lah yang saya mahukan dari pekerja saya, hasilkerja
yang kemas dan rapi tapi jangan setakat seminggu dua sudahlah”.
Kata-kata ‘tapi jangan setakat seminggu dua sudahlah’
adalah negatif.
Kalau sudah
dipuji tu puji sahajalah dan tidak perlu untuk mengungkit atau mengandaikan
perkara yang buruk-buruk lagi. Sebab setiap pujian yang disulam dengan
kata-kata negatif menunjukkan bahawa kita tidak seratus peratus ikhlas.
Lebih malang lagi orang yang dipuji itu tidak akan
mengulangi kebaikan yang dilakukan kerana merasakan kebaikan tersebut tidak
dihargai. Tidak ada sesiapa pun yang tidak suka dipuji oleh itu
kita sebenarnya bertindak bijak dengan memberikan apa yang mereka harapkan
lebih-lebih lagi jika kita seseorang yang lebih dihormati oleh mereka.
Diambil dari Blog: http://abuafif08.blogspot.com/2010/06/resepi-penawar-untuk-stress.html

Comments
Post a Comment